Saturday, July 4, 2009

M.U, rumah sewa dan durian kunyit

M.U di sini bukan singkatan bagi Kelab Bolasepak Manchester United, tetapi merujuk kepada MANIK URAI di Kuala Krai, Kelantan.

Sperti menjelang perlawanan akhir bolesepak Liga Inggeris, suasana di sini juga tidak kurang sibuknya, terutama menjelang hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil DUN Manik Urai esok, 6 Julai 2009.

Jentera parti politik yang bertanding semakin ramai tiba dari seluruh negara. Perang bendera dan poster juga semakin rancak.

Tidak ketinggalan petugas media yang mula berkampung di Manik Urai. Saya dan rombongan 30 anggota krew tiba malam tadi. Disebabkan lokasi Manik Urai yang jauh dari pekan utama dan kemudahan penginapan yang terhad di Kuala Krai, kami terpaksa menginap di sebuah rumah kayu separuh simen di Kampung Sungai Sok Dalam.

Sewanya RM7,000 untuk dua minggu! Dengan hanya dua bilik tidur sempit dan dua bilik air, kadar sewa ini lebih mahal daripada apartmen lima bintang di ibu negara. Namun, kami tidak ada pilihan. Nasib baik, ruang tamunya yang agak luas dapat memuatkan semua anggota krew. Tambahan pula malam tadi hujan lebat, jadi suasana dalam rumah agak sejuk dan mudah melelapkan mata. Malam esok, lusa dan seterusnya belum tahu lagi...

Namun, ia bukan sesuatu yang luar biasa bagi wartawan. Keselesaan bukan formula kejayaan tugas kami. Sebaliknya, semangat kerja berpasukan dan kesungguhan untuk melaporkan yang terbaik kepada umum, adalah kunci segala-galanya.

Selain sewa rumah yang mahal, M.U juga terkenal dengan durian kunyit, yang kebetulan bermusim luruh sekarang. Harganya antara RM10 dan RM20 sekilogram gram. Khabarnya, durian berisi kuning seperti kunyit produk M.U ini sudah lama terkenal di Singapura dan harganya di sana boleh mencecah hingga 30 dolar sekilogram.

Apapun, musim pilihan raya kecil datang hanya sesekali. Walau mahal mana sekalipun kos yang terpaksa ditanggung oleh mereka yang perlu berada di sini, ia tetap terpaksa dibayar. Begitu juga dengan organisasi media arus perdana yang perlu berkampung di M.U hingga berakhirnya proses pengundian pada 14 Julai 2009.

Pada masa yang sama, inilah ketikanya bagi penduduk M.U - yang majoritinya petani dan peladang - untuk merasa durian runtuh, terutama yang bijak mencari rezeki. Yang kurang bijak, tetap sama, tak merasa apa-apa. Malah, khabarnya ramai juga orang luar yang mengambil kesempatan mengaut untung pada musim pilihanraya kecil di M.U ini, termasuk orang tengah kepada penyewa rumah.

Inilah hakikatnya dunia... tak kira orang kampung atau orang bandar, orang politik atau orang apa pun... yang bijak sakunya penuh, yang bodoh menelan air liur...

2 comments:

Tungaklangit said...

SALAM

SEMPENA MENYAMBUT BULAN RAMADHAN INI SAYA INGIN MENGAMBIL KESEMPATAN UNTUK MEMOHON MAAF ATAS KEKASARAN BAHASA SEMASA MEMBERI ULASAN KEPADA SAUDARA-SAUDARA SEKALIAN

SEMOGA RAMADHAN INI DAPAT MENYATUKAN HATI UMAT ISLAM DI MALAYSIA INI...

SALAM SEJAHTERA

Leadership Developmant Training said...

kunjungan gan .,.
bagi" motivasi
kegagalan bukanlah akhir .,.
kesuksesan juga bukan akhir .,.
tapi proses merupakan cerminan akhir .,.
di tunggu kunjungan blik.na gan.,